PH Ketandusan Pemimpin Namakan Calon Kitar Semula - Azalina




KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Langkah Pakatan Harapan (PH)menamakan calon 'kitar semula' sebagai perdana menteri dan juga timbalannya menunjukkan parti itu ketandusan pemimpin berwibawa untuk diangkat sebagai pemimpin negara ,kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othmad Said.

Beliau berkata tindakan itu juga memperlihatkan yang parti tersebut tidak yakin akan kemampuan pemimpin mudanya hinggakan enggan mengetengahkan mereka.

"Saya sudah banyak kali kata yang Pakatan Harapan ini adalah parti kitar semula kerana mereka mengitar semula pemimpin yang dahulunya dari UMNO 'mempergunakan bekas pemimpin UMNO untuk merebut kuasa,' katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Amanah Raya Berhad (AmanahRaya), di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Pakatan Harapan semalam yang menamakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Azalina berkata tindakan Pakatan Harapan menggunakan pemimpin kitar semula juga menterjemahkan bahawa parti itu mengaplikasikan pendekatan 'backwards' atau ke belakang, sedangkan ia berlawanan dengan Barisan Nasional yang memandang ke hadapan dan tidak mengetepikan orang muda.

Meskipun untuk pilihan raya akan datang kita tidak tahu berapa ramai muka muda akan ditampilkan, tetapi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) banyak memberi penekanan kepada isu Transformasi Nasional 2050 (TN50)' kami memberi keutamaan kepada orang muda untuk menjadi peneraju, kepada belia untuk mewarisinya," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan media berasingan, Azalina menyifatkan pembangkang sebagai hipokrit dan tidak berprinsip kerana sering membuat pusingan U.

"Sejak awal penyatuan Pakatan Harapan lagi sudah menunjukkan betapa hipokritnya pembangkang sehingga sanggup melupakan segala tuduhan yang pernah dilontarkan terhadap mantan perdana menteri itu (Dr Mahathir).

"Sebelum ini, pembangkang acap kali mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kekayaan luar biasa anak-anak Tun Mahathir, namun hari ini mereka pula melantik Tun Mahathir sebagai ketua mereka," katanya.

Pembangkang juga menurut Azalina pernah mencadangkan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri hanya dua penggal, namun sekali lagi membuat pusingan U apabila menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri untuk penggal keenam.

"Sikap tidak berprinsip pembangkang ini boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan yang Pakatan Harapan mampu membela nasib mereka dan Pakatan Harapan hanya akan tinggal harapan," katanya.

-- BERNAMA