Daftar Pemilih: Pendengaran Bantahan Awal Dan Permohonan Kebenaran Didengar 23 Jan
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 23 Jan untuk mendengar bantahan awal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap permohonan enam pengundi berdaftar kawasan pilihan raya Parlimen Segamat untuk membatalkan kemasukan dan/atau pengekalan 102 nama anggota tentera sebagai pengundi ke dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) 2017 di kawasan itu oleh SPR.
Peguam N. Surendran berkata bantahan awal oleh SPR selaku responden dalam kes itu dikemukakan atas alasan bahawa kesemua pemohon perlu menyelesaikan rayuan berhubung perkara berkenaan menerusi pegawai pengurus pilihan raya sebelum mengemukakan permohonan bagi semakan kehakiman di mahkamah.
Surendran yang mewakili enam pengundi itu berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding di dalam kamar hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan.
Beliau berkata mahkamah juga menetapkan hari sama (23 Jan) untuk mendengar permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan Abu Bakar, 55, Azmi Othman, 43, A. Gangadharam, 63, Johar Ahmad, 61, Khairudin Sagap, 56, dan Mohd Rizal Mohd Sohot, 46, yang menamakan SPR dan Pendaftar Pemilih Negeri Johor Shafie Taib sebagai responden pertama dan kedua.
Mereka antaranya memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan kemasukan dan/atau pengekalan 102 nama ke dalam RDPT dan suatu deklarasi bahawa kemasukan nama itu ke dalam RDPT tidak berpelembagaan kerana tidak memenuhi keperluan Artikel 119 Perlembagaan Persekutuan.
-- BERNAMA