BN Optimis Menang Semua Kerusi Dalam Kawasan Parlimen Jelebu




JELEBU, 10 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) yakin akan menang semua kerusi negeri dalam kawasan parlimen Jelebu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) akan datang, kata pengerusi BN Jelebu Datuk Jalaluddin Alias.

Beliau berkata ketika ini, hanya kerusi Chennah disandang DAP, manakala kerusi lain disandang BN iaitu Sungai Lui, Klawang dan Pertang, di samping kerusi parlimen Jelebu.

"Sebelum ini, Jelebu dan empat kerusi negeri itu dimenangi BN...hanya pada PRU-13, kami beri peluang kepada DAP untuk mengurus kerusi Chennah, tetapi wakil parti itu gagal menjaga kepentingan rakyat."

"Ini penggal terakhir bagi mereka (DAP) sebab kami akan tawan semula kerusi itu dan kini bekerja lebih keras untuk menjadikannya suatu kenyataan," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jalaluddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu, berkata kini, Jelebu dianggar mempunyai 47,837 pengundi, 38.3 peratus daripadanya pengundi muda berusia bawah 40 tahun.

Katanya, daripada jumlah itu, kerusi Pertang mempunyai kira-kira 10,397 pengundi, Lui (15,161), Klawang (10,199) dan Chennah (12,074).

"Ya, kami bekerja lebih kuat selepas PRU-13 untuk mengekalkan empat kerusi negeri, juga kerusi parlimen Jelebu dan menawan kembali Chennah daripada DAP," katanya.

Pada 16 Dis tahun lepas, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan ketua MCA Bahagian Jelebu Roger Seet Tee Gee sebagai calon parti itu untuk bertanding di kerusi Chennah.

Pada PRU-13, kerusi Chennah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Siow Foo Wen daripada BN dengan Anthony Loke Siew Fook daripada DAP. Siow kalah kepada Loke dengan 1,098 undi.

Kerusi parlimen Jelebu kini kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainuddin Ismail pada 6 Dis tahun lepas.

Zainuddin menang kerusi itu dengan majoriti 7,101 undi dalam pertandingan dengan Raj Munnil Sabu daripada PAS.

-- BERNAMA