Pembahagian Kerusi Parlimen Melaka Percaturan Cacat Pembangkang
MELAKA, 10 Jan (Bernama) -- Pembahagian kerusi Parlimen untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di negeri ini di kalangan parti pembangkang dilihat sebagai sebuah percaturan cacat kerana gagal mengambil kira pelbagai faktor kritikal terutamanya saingan di kalangan pembangkang dan sokongan rakyat.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata tiada yang luar biasa atau istimewa terhadap pembahagian enam kerusi Parlimen di negeri ini, malah pembahagian itu akan menjadikan pembangkang sebuah pakatan yang lemah pada PRU14 nanti.
"Persaingan antara pembangkang ini tentunya akan melemahkan mereka dan akan memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.
Isnin lepas pembangkang mengumumkan pembahagian kerusi di kalangan parti komponen mereka yang mana PPBM bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Masjid Tanah dan Alor Gajah; PKR bagi kerusi Parlimen Tangga Batu dan Bukit Katil; DAP di Parlimen Kota Melaka dan Amanah di Parlimen Jasin.
-- BERNAMA