Parti Politik, NGO India Perlu Bersatu Hati Sokong BN





BAGAN DATUK, 13 Jan (Bernama) -- Parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam kalangan masyarakat India perlu bersatu hati menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai antara usaha untuk meningkatkan sokongan pengundi India kepada BN.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan BN sentiasa memperjuangkan hak masyarakat India di negara ini termasuk memberi peruntukan bagi pembangunan sekolah selain mewujudkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia.

"Jangan dengar orang cakap yang tidak baik tentang kita (kerajaan BN). Saya minta kita semua bersatu hati, bersatu perasaan, memberi sokongan kepada kerajaan yang ada ini yang boleh bantu seluruh bangsa, rakyat, agama.

"Saya yakin bila politeknik, kolej komuniti, Maktab Rendah Sains Mara, dewan banyak dibina di sini (Bagan Datuk) saya pasti mereka (pembangkang) akan datang. Mereka akan kata ini (pembangunan) tidak bagus... yang bagus mereka sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ramah mesra Persatuan Kemajuan dan Perpaduan Rakyat Perak (Padu) bersama masyarakat India Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup bersempena sambutan Ponggal di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang merupakan Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata masyarakat India juga perlu memberi sokongan kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang banyak membantu mereka.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan BN sentiasa menghormati semua perayaan pelbagai kaum di negara ini termasuk pesta Ponggal yang diraikan oleh masyarakat India bagi membuktikan Malaysia sebuah negara harmoni.

"Ponggal bermaksud pesta menuai. Walaupun tiada padi di Bagan Datuk kita tetap meraikannya kerana menghormati pelbagai kaum dan bangsa.

"Kita duduk di Malaysia ada orang Cina, ada orang India ada orang Indonesia tetapi negara tetap Malaysia. Kita mesti cintakan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA