Belang Pembangkang Semakin Terserlah Menjelang PRU - MB Kedah





ALOR SETAR, 14 Jan (Bernama) -- Pakatan pembangkang yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad semakin menunjukkan 'belang' apabila sikap mementingkan agenda peribadi mereka semakin hari semakin terserlah menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, perkara itu terbukti apabila satu persatu agenda tersirat mereka terdedah, termasuklah pengakuan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir baru-baru ini yang menyatakan ada menyimpan hasrat menjadi pemimpin.

"Itu yang saya sebut selalu, agenda sebenar Dr Mahathir ini agenda menaikkan anak dia, sebab itu dia beria-ia. Untuk permulaan ini dipilih oleh Pakatan Harapan untuk dia jadi Perdana Menteri (PM) tapi sebenarnya suatu hari nanti dia berhasrat sangat jadikan Mukhriz sebagai PM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pasar Tani di Taman Wira Mergong di sini hari ini dan menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada lebih 400 keluarga di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Kedah itu mengulas pengakuan Mukhriz ketika membaca keterangan saksi di Mahkamah Tinggi baru-baru ini, bahawa setiap ahli politik, seperti beliau sendiri menyimpan hasrat untuk menjadi pemimpin termasuklah sebagai Perdana Menteri, tetapi bukan melalui 'pakatan sulit' seperti didakwa bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau berkata ura-ura mengenai PPBM akan membawa calon luar bagi bertanding di kerusi PPBM pada PRU akan datang jelas menunjukkan parti itu ketandusan calon tempatan.

"Pemimpin-pemimpin PPBM di Parlimen sudah tentu nak jadi calon, tapi saya difahamkan dengar-dengar calon akan dibawa dari luar, kalau itulah yang akan dilakukan maka mereka tidak hargai tokoh tempatan yang turut bersama mereka," katanya.

Berbeza dengan Barisan Nasional, Ahmad Bashah berkata parti itu sentiasa mengutamakan calon tempatan yang lebih memahami kehendak rakyat di sesuatu kawasan dan bukannya calon ?payung terjun'.

-- BERNAMA