Lee Chee Leong Calon MCA Bagi Parlimen Kampar




Datuk Lee Chee Leong (Gambar fail Bernama)

KAMPAR, 14 Jan (Bernama) -- Naib Presiden MCA Senator Datuk Lee Chee Leong diumum sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kampar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

MCA juga menamakan Timbalan Ketua Bahagian MCA Kampar Chang Gwo Chyang, 58, calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Malim Nawar, manakala Setiausaha Bahagian Kampar Daniel Wa Wai How, 30, calon DUN Keranji.

Perkara itu diumumkan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu sidang media selepas majlis makan tengah hari bersama badan bukan kerajaan (NGO) di sini, hari ini.

Pada PRU13, Lee, 60, yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kampar tewas kepada calon DAP Ko Chung Sen dengan majoriti 5,400 undi.

Sementara Daniel Wa yang bertanding bagi DUN Keranji pada PRU13 juga tewas kepada calon DAP Chen Fook Chye dengan majoriti undi 5,561 manakala Chang tewas kepada Leong Cheok Kheng dari DAP dengan majoriti 4,343 undi untuk kerusi kerusi Malim Nawar.

Liow berkata pemilihan Lee yang juga Timbalan Menteri Kewangan dibuat kerana beliau diyakini mampu merampas kembali kerusi Kampar.

"Dia (Lee) mungkin tidak banyak bercakap tetapi dia seorang yang sentiasa bekerja keras, kita perlukan pemimpin seperti ini yang mempunyai komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat,\" katanya.

Mengenai Gwo Chyang pula, Liow berkata anak jati Kampar itu memahami kehendak rakyat sekitar manakala Daniel merupakan anak muda yang penuh bersemangat.

"Mari kita semua bersatu dan memberi sokongan penuh kepada ketiga-tiga calon ini, beri mereka mandat supaya mereka dapat memperjuangkan suara komuniti Cina Parlimen (Kampar) ini," katanya.

Kata Liow, beliau telah mengarahkan ketiga-tiga calon tersebut untuk sama-sama bekerja keras bagi memastikan mereka mendapat sokongan terbaik di kawasan Kampar sekali gus memastikan kemenangan Barisan Nasional.

-- BERNAMA