UMNO Mampu Menang Dengan Majoriti Besar Di DUN Sulabayan, Semporna




SEMPORNA, 15 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO diyakini bukan sahaja mampu menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan di sini pada pilihan raya umum ke-14 tetapi juga meningkatkan jumlah undi majoriti.

Pegawai Khas di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sulabayan Mohd Yakin Jalling berkata ini kerana penduduk di DUN itu berfikiran positif selain menghargai usaha konsisten kerajaan membantu masyarakat di kawasan berkenaan termasuk membina pelbagai kemudahan.

"Terbaharu sebanyak enam dewan sekolah di DUN Sulabayan bernilai RM200,000 setiap satu, siap dibina menggunakan peruntukan DUN tahun lalu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

DUN itu disandang Datuk Jaujan Sambakong yang memenangi kerusi tersebut atas tiket UMNO namun mengumumkan keluar parti pada Jun 2016 dan kini bersama Parti Warisan Sabah yang diterajui Anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang rendah akan usaha kerajaan membawa pembangunan dengan membina pelbagai kemudahan di DUN Sulabayan.

Antaranya pembangunan di Pulau Bum-Bum yang bakal dilaksana secara berperingkat untuk menjadikan pulau itu sebagai daerah kecil di Semporna di samping mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini di kawasan berkenaan sekali gus membantu merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk setempat.

-- BERNAMA