UMNO Mampu Kekal Kemenangan Di DUN Sulabayan Semporna
SEMPORNA, 15 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO mampu mengekalkan kemenangan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan di Semporna pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan undi majoriti juga dijangka meningkat, kata Pegawai Khas di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulabayan, Mohd Yakin Jalling.
Mohd Yakin berkata UMNO semakin kuat dan tiada tanda kelemahan untuk calon UMNO kalah bertanding di kawasan DUN itu.
"Penduduki kawasaan DUN Sulabayan berfikiran positif dan memandang ke arah masa hadapan lebih baik bersama kerajaan.
"Penduduk memandang usaha konsisten kerajaan membantu dari segenap aspek kebajikan rakyat di kawasan ini," katanya ketika ditemui pemberita di sinihari ini.
Wakil rakyat Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong sebelum ini menang atas tiket UMNO namun mengumumkan keluar parti pada Jun 2016 dan kini bersama Parti Warisan Sabah yang dinaungi Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Dalam pada itu, Mohd Yakin berkata pelbagai kemudahan infrastruktur disediakan kerajaan di kawasan Sulabayan antaranya akses jalan raya, menyediakan sekolah rendah dan menengah, membina rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Program Bantuan Rumah (PBR).
"Terbaru sebanyak enam dewan sekolah di DUN Sulabayan bernilai RM200,000 setiap satu, siap dibina menggunakan peruntukan DUN tahun lalu," katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memandang rendah kepada usaha kerajaan membawa pembangunan dengan membina pelbagai kemudahan infrastruktur di DUN Sulabayan.
Antara lain, Pulau Bum-Bum bakal dibangunkan secara berperingkat dengan permulaan menjadikan pulau itu sebagai daerah kecil bagi Semporna di samping mewujudkan mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di kawasan itu sekali gus membantu merancakkan ekonomi dan sosial penduduk setempat, katanya.
-- BERNAMA