Wanita Umno Perlis Harap Tiga Wakil Dipilih Untuk PRU14




KANGAR 16 Jan (Bernama) -- Pergerakan Wanita UMNO Perlis berharap agar tiga wakilnya akan dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang.

Ketuanya, Rela Ahmad berkata perjuangan serta pengorbanan pergerakan itu dalam mengukuhkan parti tidak dapat dinafikan dan bukan hanya bermusim atau menjelang pilihan raya.

"Kami tidak kisah sama ada wakil Wanita diletakkan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, kami beri jaminan calon Wanita dapat membantu bawa kemenangan kepada Barisan Nasional (BN)," katanya kepada Bernama di sinihari ini.

Menurut beliau, buat masa ini Wanita UMNO Perlis mempunyai dua wakil bagi kerusi DUN.

Rela berkata mengenai calon daripada Wanita, terdapat ramai individu yang berwibawa dan sudah lama berjuang dalam parti yang bersedia memikul tanggungjawab jika mereka diberi peluang.

Dalam pada itu Rela yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan negeri meminta rakyat menilai keikhlasan kerajaan dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

"Kita bukan memberi bantuan kepada rakyat apabila dekat dengan musim pilihan raya sahaja, sebaliknya ia berterusan dari semasa ke semasa, malah kadar bantuan pula dinaikkan," katanya.

-- BERNAMA