Golongan Muda KDM Diseru Main Peranan Penting Pada PRU14
KOTA KINABALU, 17 Jan (Bernama) -- Pemangku Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Christopher Mandut menyeru golongan muda daripada masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) supaya memainkan peranan penting pada pilihan raya umum akan datang.
"Inilah masa untuk kita (golongan muda KDM) menonjolkan kehebatan. Kita perlu memainkan peranan penting pada pilihan raya umum ke-14 sebagai perintis bagi masa depan Malaysia.
"Kita perlu mainkan peranan itu bagi memastikan penyertaan masyarakat KDM mendapat tempat dalam politik arus perdana dan pentadbiran,? katanya kepada Bernama hari ini.
Mandut berkata golongan muda KDM juga perlu memastikan mereka sentiasa komited dan bersatu dalam Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan pembangunan mampan di Sabah khususnya, dan di Malaysia amnya.
"Kerajaan sentiasa mendengar degup nadi rakyat dan berusaha dengan tekun untuk memenuhi keperluan semua rakyat. BN mungkin mempunyai sedikit sebanyak kekurangan, tetapi selama beberapa dekad memegang kuasa, parti gabungan ini telah membawa kepada kita keselesaan serta kestablilan dan saya yakin BN tetap merupakan pilihan terbaik bagi kita semua.
"Kenapa hendak beri kepercayaan kepada orang lain sedangkan kita sudah mempunyai sebuah kerajaan yang stabil... Semua janji manis daripada pembangkang dan parti politik baru muncul seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan tidak lebih daripada untuk sedap didengar sahaja," kata beliau.
Beliau berkata BN menyedari peranan penting yang akan dimainkan golongan muda KDM pada pilihan raya umum akan datang, terutama dalam mematahkan taktik pembangkang, termasuk Warisan, yang mengadakan siri jerayawaranya baru-baru ini bagi menarik undi anggota masyarakat KDM.
"Seperti golongan muda lain di seluruh Malaysia, mereka juga akan menjadi pembawa obor bagi kemajuan ekonomi, kestabilan dan perpaduan untuk masa akan datang. Ada pihak lain yang ingin memadamkan obor itu. Bagaimanapun, BN berazam untuk membuka jalan bagi golongan muda, termasuk dalam masyarakat KDM," katanya.
Mandut berkata: "Inilah masanya golongan belia menunjukkan bahawa mereka juga menolak puak yang kerja mereka hanya memecahbelahkan rakyat melalui politik, tetapi sebaliknya bekerjasama dengan pihak yang mempunyai rekod kejayaan dalam membawa kemajuan ekonomi dan kestabilan kepada Malaysia.
"Usahlah kita percaya kepada apa yang dikatakan kononnya keikhlasan mereka kerana pemimpin mereka sendiri pun merupakan pemimpin kitar semula, yang meninggalkan parti lama masing-masing untuk menubuhkan parti baharu dengan harapan akan mendapat undi simpati daripada rakyat agar mereka boleh terus berkuasa.
"Kita perlu tanya diri sendiri adakah pemimpin jenis itu yang kita mahu mentadbir negara kita... Pada pilihan raya umum akan datang, janganlah kita memutar kembali jarum jam ke masa lampau, sebaliknya, kita bertanggungjawab untuk memastikan Malaysia terus melangkah ke hadapan dan lebih berjaya," kata Mandut.
Sementara itu, Mandut mengalu-alukan kunjungan dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke tiga kawasan KDM iaitu Kota Marudu, Nabawan (Pensiangan) dan Penampang, yang merupakan kawasan utama masyarakat Kadazandusun di Sabah bermula esok.
Beliau menyifatkannya sebagai kunjungan penting dan menjadi bukti tentang komitmen perdana menteri untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat KDM.
"Golongan muda KDM boleh memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya umum akan datang. Mereka kini lebih berpendidikan tinggi serta lebih berpengetahuan dan saya yakin majoriti daripada mereka akan menyokong BN bagi memastikan Sabah terus maju, aman dan makmur," katanya.
Pada pilihan raya umum lepas, calon BN Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Tan Sri Joseph Kurup masing-masing memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu dan Pensiangan, tetapi calon parti gabungan itu, kalah kepada calon Parti Keadilan Rakyat, Darell Leiking di Penampang. Leiking kemudian meningalkan PKR dan berganding bahu dengan bekas naib presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menubuhkan Warisan.
-- BERNAMA