Umum Calon Lebih Awal Untuk Kawasan Tertentu Strategi Parti - Zambry
TANJUNG MALIM, 17 Jan (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pengumuman calon MCA untuk Parlimen Kampar dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Ahad lepas sebagai satu strategi parti itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Zambry yang juga Menteri Besar Perak percaya keputusan MCA itu dibuat atas semangat perbincangan dalam kalangan mereka.
"Saya fikir keputusan yang dibuat berdasarkan persetujuan yang dibuat di antara Presiden (MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai) dan Naib Presiden (Senator Datuk Lee Chee Leong) di kawasan Kampar dan ia akan dibawa kepada peringkat tertinggi BN untuk keputusan akhir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Tanah dan Daerah Muallim, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Liow pada Ahad lepas yang mengumumkan Lee sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kampar manakala Timbalan Ketua Bahagian MCA Kampar Chang Gwo Chyang sebagai calon untuk kerusi DUN Malim Nawar dan Setiausaha Bahagian Kampar Daniel Wa Wai How, calon DUN Keranji.
Mengulas lanjut, Zambry berkata tindakan Liow itu bukanlah suatu yang di luar jangka memandangkan BN Perak sentiasa mengadakan perbincangan dengan kepimpinan parti-parti komponen di peringkat negeri dan juga pusat.
"Dalam konteks Kampar, Presiden MCA merasakan perlu buat pengumuman awal namun ia bergantung kepada keputusan akhir oleh Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya.
-- BERNAMA