Pelajar Matrikulasi Terima Zakat RM700,000 Daripada PNB

PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan hari ini menerima sumbangan zakat berjumlah RM700,000 daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk diagihkan kepada pelajar program marikulasi daripada golongan asnaf.
Sumbangan yang akan memberi manfaat kepada 1,100 pelajar tersebut diterima oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid daripada Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam satu majlis ringkas di kementerian itu di sini.
Mahdzir dalam ucapannya berkata program julung kali itu melibatkan pengagihan RM300,000 kepada 300 pelajar cemerlang yang layak menerima zakat manakala RM400,000 diagihkan kepada 800 pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah atau kumpulan B40.
"Sumbangan ini akan memberi manfaat kepada pelajar dalam meneruskan pengajian dengan lebih cemerlang, khususnya kepada mereka yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti," katanya.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab agensi berkenaan dalam memperkasa sektor pendidikan negara.
Beliau berharap sumbangan wang zakat itu dapat mendorong pelajar meningkatkan prestasi akademik di samping membantu meringankan beban mereka yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
-- BERNAMA