Polis Negeri Sembilan Bersiap-sedia Hadapi PRU14
SEREMBAN, 17 Jan (Bernama) -- Polis kontinjen Negeri Sembilan telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketua Polis negeri, DCP Datuk Noor Azam Jamaludin.
Beliau berkata kira-kira 95 peratus pihaknya telah bersiap sedia dari segi sumber manusia manakala lima peratus lagi adalah berkaitan sokongan logistik.
"Selain kursus, kita juga telah mengadakan banyak latihan dalam menghadapi PRU14 secara fasa demi fasa di seluruh negara. Latihan seterusnya akan diadakan bulan depan.
Menerusi latihan ini kita akan membuat senario yang mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam dan dari situ kita akan melihat sejauh mana keberkesanan tindakan kami untuk menangani masalah tersebut,? katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'NS Industrial Neighbourhood Watch' di kilang Kibing Group (M) Sdn Bhd, Senawang dekat sini, hari ini.
Katanya 4,600 orang pegawai dan anggota kontinjen ini di negeri ini bakal terlibat pada PRU14.
"Penugasan pegawai dan anggota ini telah sedia disusun-atur dan boleh digerakkan pada bila-bila masa. Mereka ini ada peranan masing-masing seperti di pusat mengundi, membuat pemantauan dan sebagainya," katanya.
Mengenai program 'NS Industrial Neighbourhood Watch\', beliau berkata ia merupakan kesinambungan kepada program pencegahan jenayah di bawah 'pengawasan komuniti'.
Noor Azam berkata program ini dilaksanakan atas kesedaran bersama antara pihak polis dan pihak industri di negeri ini iaitu Majlis Perhubungan Industri Negeri Sembilan (NSILC) dan ?Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM).
"Program ini dibentuk untuk menyemai semangat kerjasama dalam mengatasi masalah yang timbul di kawasan industri termasuk jenayah. Program ini diadakan demi mewujudkan persekitaran fizikal yang mampu menangani jenayah, sekali gus mencegah kegiatan negatif tersebut dari terus berleluasa," katanya.
Katanya Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah terpilih di dalam pelaksanaan projek perintis program 'NS Industrial Neighbourhood Watch' di peringkat kontinjen Negeri Sembilan.
"Manakala kawasan industri Tuanku Jaafar Senawang turut terpilih berdasarkan kepesatan pembangunan industri di kawasan itu dan kawasan sekitarnya yang padat dengan taman perumahan serta bangunan perniagaan. Program ini akan diperluaskan di kawasan industri lain termasuk Nilai pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA