PRU 14: Lima Nama Calon Satu Bahagian - Mohamad Hasan




SEREMBAN, 17 Jan (Bernama) -- UMNO Negeri Sembilan telah mengemukakan lima nama daripada setiap bahagian untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kesemua nama itu merangkumi calon di peringkat kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Untuk kerusi DUN Rantau, saya telah menyenaraikan lima nama calon yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau.

"Walaupun empat daripada mereka menarik diri, dengan izin daripada mereka, saya tetap menyenaraikan nama mereka bagi melengkapkan proses memberi pilihan kepada kepimpinan tertinggi membuat keputusan," kata ketua UMNO Bahagian Rantau itu.

Senarai lima nama di bahagian lain diputuskan dalam mesyuarat masing-masing, kata Mohamad yang juga Menteri Besar kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata itu merupakan antara proses demokrasi dalam UMNO yang memberi kebebasan untuk setiap bahagian menamakan calon yang dirasakan boleh membawa kemenangan kepada parti.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga pengerusi Barisan Nasional negeri berkata setakat ini tidak ada sesiapa boleh mendakwa dirinya telah dipilih sebagai calon kerana proses menentukan calon yang akan bertanding dalam PRU14 belum bermula.

"Kepada orang ramai jangan percaya individu yang mendakwa beliau bakal calon dan individu yang mendakwa beliau boleh menjadikan seseorang itu sebagai calon PRU14," katanya.

-- BERNAMA