Garis Panduan Pemaliman EJS Disemak Semula Untuk Tingkat Keberkesanan - Liow





PUTRAJAYA, 17 Jan (Bernama) -- Cadangan semak semula Garis Panduan Pemaliman di Timur Selat Johor (EJS) untuk melonggarkan sekatan trafik maritim bagi kapal beroperasi pada waktu malam di perairan Singapura akan meningkatkan produktiviti dan keberkesanan pelayaran serta keselamatan keseluruhan pelayaran di sepanjang EJS, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata Singapura bersetuju menyemak semula EJS susulan pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari republik itu Lee Hsien Loong pada Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura ke-8 semalam.

Katanya pada masa ini Garis Panduan Pemaliman EJS hanya membenarkan kapal dengan panjang lebih 240 meter melalui selat itu pada waktu siang.

"Kami meminta mereka (Singapura) memperuntukkan kita masa yang lebih fleksibel untuk menggunakan laluan? Sekatan yang dikenakan pada masa ini mengehadkan keberkesanan operasi Pelabuhan Johor dan pada masa sama mewujudkan kesesakan dengan menghimpunkan kapal-kapal di laluan yang sendat," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Liow berkata setiap tahun, lebih 6,000 kapal melalui selat itu untuk memasuki Pelabuhan Johor, Terminal Pelabuhan Tanjung Langsat serta fasiliti lain di Pelabuhan Pasir Gudang.

Terdahulu, Liow menyaksikan pemeteraian memorandum kerjasama di antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Telekom Malaysia Berhad untuk pelaksanaan sistem eCall Malaysia.

Mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi yang bermula hari ini, Liow berkata kerajaan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan pasukan pakar dan pemilik kapal untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat bagi disampaikan kepada waris.

"Ada dua pegawai Malaysia di atas kapal itu yang akan menghantar perkembangan harian kepada pasukan respons yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. Beliau akan menerima maklumat harian mengenai operasi," katanya.

Rabu lepas Malaysia menandatangani perjanjjian dengan syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited untuk memulakan pencarian baharu MH370.

Kapal Seabed Constructor akan meliputi kawasan seluas 25,000 kilometer persegi dalam tempoh 90 hari.

Operasi pencarian MH370 yang dilaksanakan secara bersama oleh Australia, China dan Malaysia ditangguhkan pada Januari tahun lepas setelah operasi di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi gagal mengesan sebarang petunjuk berhubung pesawat Boeing 777 itu.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

-- BERNAMA