Pemuda BN Johor Anjur Program Kemahiran Belia




KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Selaras dengan hasrat kerajaan pusat dan negeri yang ingin menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi selatan tanah air, Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri itu mengambil insiatif melaksanakan program '1 Cawangan 1 Orang Muda Johor Berkemahiran'.

Ketua Pemuda BN negeri Hahasrin Hashim berkata program itu bertujuan mempersiapkan golongan muda menghadapi kepesatan ekonomi di negeri itu, dan secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran kepada mereka.

"Jadi kita mahu apabila tiba waktunya (Johor menjadi kuasa ekonomi selatan tanah air) orang muda sudah bersedia mengambil peluang pekerjaan yang akan terbuka luas nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Hahasrin yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor berkata melalui program yang diadakan dengan kerjasama Skills Johor itu, kursus percuma diberikan kepada golongan muda dalam pelbagai kemahiran yang berpotensi mengikut kawasan.

"Sebagai contoh Pengerang akan muncul sebagai hab pemprosesan minyak dan gas, jadi kemahiran berkaitan yang diperlukan seperti kimpalan dalam air dan pemasangan paip, manakala di Nusajaya ada Pinewood Studio (Pinewood Iskandar Malaysia Studios) memerlukan tenaga kerja dalam industri kreatif," katanya.

Menurutnya, program '1 Cawangan 1 Orang Muda Johor Berkemahiran' yang baru bergerak secara agresif awal bulan ini menerima sambutan menggalakkan dan setakat ini lebih 50 pendaftaran diterima, malah terdapat peserta yang sudah mendapat pekerjaan sejurus menjalani kursus.

Katanya program tersebut akan dilaksanakan sepanjang tahun ini dan ia akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang mengikut kesesuaian.

"Anak muda yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang www.pemudabnjohor.my," katanya.

-- BERNAMA