Lapan PDM Indera Mahkota Dikendali Bersama MCA Dan UMNO
KUANTAN, 20 Jan (Bernama) -- Sebanyak lapan pusat daerah mengundi (PDM) dalam Parlimen Indera Mahkota yang sebelum ini diketuai MCA akan dikendalikan secara bersama petugas daripada UMNO untuk menghadapi PIlihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.
Ketua Bahagian UMNO Indera Mahkota Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid berkata keputusan itu diambil hasil persetujuan bersama yang dicapai dalam mesyuarat melibatkan semua pemimpin Barisan Nasional Bahagian Indera Mahkota minggu lepas.
"Hasil perbincangan yang dilakukan, kita telah bersetuju untuk melantik wakil UMNO sebagai penyelaras bersama di lapan PDM yang terlibat dan kita akan putuskan nama wakil yang dipilih untuk bersama wakil MCA dalam perjumpaan yang dijadualkan Isnin ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Majlis Penutup Program 'Touch Point Cabinet Away Day' Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) 2017, di Kampung Balok Baru di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Norlida Abd Razak.
Katanya sebagai persiapan untuk menghadapi PRU14 nanti, UMNO bahagian juga akan melatih petugas yang terpilih untuk menjaga PDM, bermula bulan depan dalam usaha untuk memperkemaskan lagi jentera dan gerak kerja parti.
Sementara itu, program yang diadakan dengan kerjasama dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu, bertujuan untuk meningkatkan impak sosial melalui perkongsian pengalaman serta kepakaran pelajar.
Sebanyak 56 rumah penduduk yang terpilih dalam kawasan Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota terbabit dibaik pulih dalam menerusi program berkenaan yang dilaksanakan melibatkan dua fasa bermula awal November lepas sehingga hujung Januari ini dengan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM280,000.
-- BERNAMA