BN Negeri Sembilan Kini Bermesyuarat Sebulan Sekali
SEREMBAN, 21 Jan (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mesyuarat BN negeri kini diadakan sebulan sekali berbanding tiga bulan sekali sebelum ini.
Beliau berkata langkah itu bagi mengukur tahap kesiapsiagaan setiap parti komponen BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit.
Beliau berkata beberapa masalah telah diselesaikan pada mesyuarat pertama baru-baru ini, sebagai contohnya persetujuan dicapai bagi UMNO dan MCA bersama-sama menguruskan satu Pusat Daerah Mengundi (PDM).
"MCA menyatakan lebih ramai pengundi Cina daripada pengundi Melayu di kawasan PDM itu tetapi diurus oleh UMNO dan mereka mahu MCA menguruskannya pula.
"Jalan penyelesaiannya ialah kedua-dua parti (UMNO dan MCA) menguruskan PDM itu. Kita buat secara bersama supaya tidak ada perasaan berkecil hati di antara satu sama lain. Masalah yang sama juga berlaku di antara MIC dan PPP dan saya gesa mereka supaya bekerjasama menguruskan PDM tersebut," katanya di sini, hari ini.
Mohamad yang juga menteri besar berkata semua parti komponen BN negeri sudah bersetuju supaya pendekatan yang sama dilakukan di seluruh negeri ini.
"Kami menyelesaikan isu-isu supaya jentera parti BN dapat bergerak dan bersedia. Yang paling penting sekali ialah mereka dapat menghubungi pengundi-pengundi untuk terus memberikan sokongan kepada BN pada PRU14 ini," katanya.
Katanya beliau telah meminta semua parti komponen BN negeri membentangkan gerak kerja masing-masing dan mengetengahkan apa juga isu dan masalah untuk diselesaikan pada mesyuarat bulanan itu.
Jentera pilihan raya BN negeri dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Nov lepas.
-- BERNAMA