Gerakan Kedah Guna Pendekatan Mikro Dekati Pengundi




ALOR SETAR, 22 Jan (Bernama) -- Parti Gerakan menggunakan pendekatan secara mikro dalam mendekati pengundi sejajar usaha parti itu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Sidam dan Derga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi Gerakan Kedah Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata melalui kaedah turun padang secara giat bermula lebih dua tahun lalu, jenteranya mula bekerja mendekati pengundi di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) melalui konsep 1:30.

"Melalui konsep ini (1:30), setiap seorang anggota jentera kita ditugaskan menjaga sekitar 30 pengundi...ini bermakna mereka akan mengambil tahu setiap masalah, menjaga kebajikan sekali gus membolehkan pengundi merasa lebih dekat dengan kita," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden parti dan dicalonkan semula untuk kerusi DUN Derga pada PRU14 itu turut menzahirkan keyakinan mampu memenangi semula kerusi berkenaan bersandarkan kepada rekod cemerlang parti dalam berkhidmat kepada rakyat selama ini.

"Lagipun pengundi di DUN ini sudah mengenali saya, malah kini ramai daripada mereka yang masih memohon bantuan dan mencari penyelesaian masalah berkaitan isu rakyat daripada kita.

"Saya yakin sokongan pengundi PAS yang dahulunya (sewaktu PRU13) diberikan kepada DAP, akan beralih kepada kita," katanya.

Sebelum ini presiden parti itu Datuk Seri Mah Siew Kong menamakan Cheah sebagai calon untuk bertanding semula bagi merebut kerusi DUN Derga manakala bagi kerusi DUN Sidam, parti itu mencalonkan Bendahari Gerakan Kedah Tan Kok Seong.

Pada PRU13, calon BN daripada Gerakan Bee Sieong Heng kalah kepada Robert Ling Kui Ee daripada PKR dengan majoriti 5,964 undi dalam pertandingan DUN Sidam menerusi Parlimen Sungai Petani.

DUN Derga bawah Parlimen Pokok Sena pula dimenangi Tan Kok Yew (DAP) apabila mengalahkan Cheah dengan majoriti 1,156 undi.

Setakat ini jumlah pengundi di DUN itu adalah kira-kira 28,000 dengan 55 peratus daripadanya adalah Melayu, 39.5 peratus Cina serta selebihnya India dan lain-lain.

-- BERNAMA