PBS Yakin Menang Semua Kerusi Pada PRU14 - Ongkili




KOTA KINABALU, 22 Jan (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin bahawa semua calonnya yang bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 boleh menang meskipun diletakkan di mana-mana kawasan.

Pemangku Presiden parti Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata PBS adalah parti pelbagai kaum dan yakin mampu melawan pembangkang di mana-mana kerusi diwakili sekali gus memberi kemenangan kepada BN.



"PBS juga akan bekerja keras untuk terus mempertahan kesemua 13 kerusi diperuntukkan kepada parti,? katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Bekalan Elektrik di Sabah di sini hari ini.

Program sehari anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu bertujuan memberikan penjelasan dan gambaran sebenar kepada semua pihak, khususnya kepada rakyat Sabah, berhubung isu dan cabaran semasa dihadapi dalam menyediakan bekalan elektrik berkualiti di negeri ini.

Dalam pada itu, Ongkili turut menyatakan hasrat dan mempertimbang untuk kembali ke kampung halamannya di Tambunan sekali gus mewakili kerusi kawasan itu, namun, ingin memastikan terlebih dahulu kawasan Kota Marudu, yang kini disandangnya terus kekal milik parti.

-- BERNAMA