UMNO Punya Hala Tuju Jelas Bantu Rakyat - Musa

SANDAKAN, 23 Jan (Bernama) -- Sistem kerangka yang kemas dan teratur dalam UMNO membolehkan parti itu mempunyai hala tuju yang jelas dalam membantu rakyat, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Musa Aman.
Ketua Menteri Sabah itu berkata menerusi kerangka itu, pemimpin UMNO di pelbagai peringkat sentiasa turun padang untuk membantu rakyat hingga ke akar umbi.
"Tidak ada parti di dunia ini ada kerangka yang begitu baik, kemas dan teratur selain UMNO yang merupakan sebuah parti berjiwa rakyat," katanya kepada pemberita selepas Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 Bahagian Libaran anjuran Biro Kebajikan UMNO pusat di sini hari ini.
Menurutnya ini ditambah dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO yang melaksanakan banyak dasar dan program untuk membantu rakyat di seluruh negara demi kesejahteraan hidup semua.
Justeru Musa berkata rakyat Sabah tahu mengenang budi dan memastikan kesinambungan pembangunan pesat di negara ini yang turut dinikmati di negeri ini.
"Saya sentiasa menyatakan bahawa kita rakyat Sabah tahu membalas budi dan memang penyokong kuat Barisan Nasional.
"Kami sebagai pemimpin UMNO di peringkat negeri dan pusat akan terus bekerjasama dan turun membantu rakyat," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Musa berkata amanah yang diberikan rakyat kepada UMNO diterjemahkan kepada pelaksanaan program menyentuh rakyat terutama membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Katanya wujudnya perasaan persaudaraan yang dekat, walaupun jauh, UMNO sebagai keluarga besar melaksanakan program membantu rakyat tidak kira di mana mereka berada.
Ini cara UMNO sebagai sebuah parti prihatin dan sentiasa turun padang untuk melihat sendiri keperluan rakyat dan membantu rakyat dari semasa ke semasa, katanya.
-- BERNAMA