40 Peratus Calon UMNO Pulau Pinang Muka Baharu




GEORGE TOWN, 23 Jan (Bernama) -- UMNO Pulau Pinang dijangka menurunkan 40 peratus muka baharu terdiri daripada generasi muda pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang, kata Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Beliau berkata pihaknya juga menjangkakan berlaku sedikit perubahan iaitu kemungkinan seorang anggota parlimen akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seorang anggota DUN bertanding kerusi parlimen.

"Kemungkinan-kemungkinan itu tertakluk kepada Presiden parti yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang bersama Ketua Jabatan/Agensi Persekutuan Pulau Pinang di sini hari ini.

Ditanya mengenai senarai calon, Zainal Abidin berkata pihaknya telah menghantar senarai lima nama bagi setiap kerusi parlimen dan DUN yang ditandingi parti itu untuk ditimbang dan diputuskan oleh pengerusi BN.

"Kami serahkan nama calon yang menjadi pilihan pengundi di kawasan masing-masing dan kami telah mendapat senarai pendek tiga nama daripada perdana menteri," katanya.

Beliau berkata pihaknya masih meneliti tiga nama tersebut dan nama calon muktamad akan diputuskan apabila Parlimen dibubarkan.

"Jadi, maknanya tidak ada siapa yang dah sah jadi calon, tidak muktamad lagi, masih lagi dianalisis dalam kategori tiga calon terakhir," katanya.

Beliau berkata UMNO Pulau Pinang kekal bertanding di 15 kerusi dewan undangan negeri dan lima kerusi parlimen pada PRU akan datang.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi parlimen. Pada pilihan raya umum lepas BN memperoleh 10 kerusi DUN dan tiga parlimen, kesemuanya kerusi yang ditandingi calon UMNO.

"Setakat ini UMNO Pulau Pinang akan terus bertanding di kawasan-kawasan yang kita wakili sebelum ini manakala yang lain akan ditandingi calon-calon parti komponen BN. Pada hemat saya sebahagian besar daripada kerusi ini akan ditandingi oleh parti asal," katanya.

-- BERNAMA