Pengundi Dun Bukit Selambau Dan Lunas Jangan Ulangi Kesilapan




ALOR SETAR, 24 Jan (Bernama) -- Para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Lunas diingatkan supaya tidak mengulangi kesilapan lampau pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti bagi mengelak daripada terus ditipu dengan janji palsu pihak pembangkang.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata mereka perlu sedar pihak pembangkang hanya pandai menabur janji bagi menarik undi sedangkan Barisan Nasional (BN) yang banyak membantu menjaga kebajikan pengundi di kawasan tersebut.

"Pembangkang hanya boleh bercakap dan menabur janji kosong. Kalau berlaku bencana seperti banjir mana wakil rakyat di Bukit Selambau dan Lunas...yang ada sepanjang masa membantu pengundi terutamanya masyarakat India ialah BN serta parti komponen.

"Kalau itu cara wakil rakyat di sana, pengundi perlu lihat semula. Sudah berkali-kali kena tipu dengan mereka (pembangkang) sebelum ini, tak akan hendak kena tipu dalam tempoh lima tahun lagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Bashah menyerahkan cek kepada 59 Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil), 48 kuil dan 21 badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Kedah yang melibatkan kos RM900,000.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah yakin dan positif BN mampu memenangi semula dua kerusi DUN iaitu Bukit Selambau dan Lunas yang diperuntukkan untuk calon mewakili masyarakat India pada PRU kali ini.

"Kali ini, saya minta pengundi daripada masyarakat India, Melayu dan Cina jangan ulangi kesilapan yang sama lagi kerana mereka yang akan rugi nanti. Apabila kita kalah, semua peruntukan tidak dapat dan pembangunan untuk mereka tidak dapat dijalankan.

"Kita juga berharap untuk PRU kali ini, wakil MIC akan dipilih kerana majoriti kaum di situ adalah India jadi kalau ada masalah apa-apa senang hendak diuruskan," katanya.

BN kali terakhir menguasai DUN Bukit Selambau dan Lunas melalui PRU11 pada 2004, sebelum hilang kedua-dua kerusi kepada pembangkang bermula PRU12.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata 672 Pusat Daerah Mengundi (PDM) UMNO negeri ini telah bersedia dan bersiap siaga memperlengkapkan bilik gerakan dan jentera masing-masing bagi menghadapi PRU14 nanti.

-- BERNAMA