Terowong: Pemuda BN Pulau Pinang Mohon Bantuan Konsulat China




GEORGE TOWN, 25 Jan (Bernama) -- Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menyerahkan surat kepada pejabat konsulat jeneral China Pulau Pinang bagi memohon bantuannya untuk menghubungi wakil syarikat China, Railway Construction Corporation (CRCC) berhubung projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion.

Ketua Pemudanya Hng Chee Wey berkata syarikat itu yang dipertanggunjawabkan dalam pembinaan projek itu diharapkan tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa persoalan yang dikemukakan agar rakyat negeri ini mengetahui perkara dan maklumat sebenar.

"Merujuk kepada laman web State-Owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC), laporan yang dikemukakan oleh CRCC kepada SASAC menunjukkan CRCC telah menandatangani kontrak dengan Konsortium Malaysia Zenith BUCG Co Ltd untuk membuat reka bentuk tiga lebuh raya dan terowong dasar laut itu dengan nilai kontrak USD22 juta. Adakah ini benar",

"Kita nak tanya adakah itu benar dan kita harap konsulat China dapat jemputlah CRCC memberi keterangan untuk menjelaskan kekeliruan ini kerana pengerusi Barisan Nasional (Teng Chang Yeow) mengatakan satu angka, Ketua Menteri Lim Guan Eng pula memberikan jawapan lain dan Exco negeri menjawab dalam dewan (Dewan Undangan Negeri) satu jawapan yang berlainan juga," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat rasmi itu di sini, hari ini.

Dalam pada itu Hng turut menuntut penjelasan lain iaitu adakah laman web tersebut merupakan laman web rasmi bagi SASAC dan adakah CRCC merupakan pemegang saham SPV (syarikat tujuan khas) bagi projek tersebut.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim dan Ketua Pemuda Gerakan Jason Loo.

Rafizal pula mendakwa ketua menteri sekali lagi cuba mengelirukan rakyat Pulau Pinang apabila dalam kenyataannya kelmarin menyatakan terowong dan tiga lebuh raya itu adalah projek berbeza.

Dalam laman web kerajaan negeri pada 6 OKT 2013, semasa menandatangani perjanjian mengatakan bahawa tiga projek lebuh raya dan terowong adalah satu pakej.

"Jadi kami mohon penjelasan ketua menteri yang mana benar? mohon penjelasan dan jangan kelirukan rakyat dengan membuat dua kenyataan berbeza pada masa yang berbeza," katanya.

Berhubung kenyataan Lim yang menyifatkan pendedahan dibuat Gerakan berhubung projek itu sebelum ini diibarat sebagai sarkas, Rafizal mendakwa ketua menteri itu terdesak dan terperangkap dalam mainan wayang sendiri.

"Bila orang terdesak ini jawapan paling mudah, ia mempersendakan pihak lain," katanya.

-- BERNAMA