Program Jualan Sentuhan Rakyat Bantu Rakyat
PADANG BESAR, 26 Jan (Bernama) -- Program 'Jualan Sentuhan Rakyat' yang dianjurkan UMNO Bahagian Padang Besar di Nat Bukit Ketri dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuoing di sini hari ini mendapat sambutan hangat penduduk tempatan.
Barang keperluan harian seperti beras, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, gula, ikan, ayam dan sayur-sayuran habis dijual menjelang pukul 11.30 pagi sejak dibuka pukul 8 pagi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Asmaiza Ahmad sebanyak tiga tan beras, 6,000 butir telur ayam dan masing-masing 1,000 kilogram minyak masak, tepung gandum dan gula habis dijual.
"Barang-barang keperluan harian ini dijual lebih murah daripada harga pasaran bagi meringankan beban rakyat. Kita juga tidak hadkan berapa banyak mereka hendak beli ," katanya kepada media semasa ditemui pada program itu.
Asmaiza yang juga anggota DUN Chuping berkata hampir semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Pasar raya Giant dan Syarikat Beras dan Padi Nasional (Bernas) menyertai program itu.
Katanya program itu akan dilaksanakan dua kali setiap sebulan sehingga Jun ini secara bergilir di dua lagi DUN iaitu DUN Titi Tinggi dan DUN Beseri.
"Walaupun taraf hidup rakyat dalam kawasan Parlimen Padang Besar berada pada tahap agak selesa, program ini sekurang-kurangnya memudahkan mereka mendapat keperluan harian kerana sebahagian tinggal jauh dari Pasar raya Giant," tambahnya.
Pengarah Pejabat Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Perlis, Khairul Amin Talib berkata harga barang yang dijual ada yang murah sehingga RM1 bagi satu kilogram berbanding harga pasaran.
Mengenai persediaan menghadapi sambutan Tahun Baharu Cina pula, beliau berkata pemborong, pembekal dan pasar raya besar di negeri ini telah diberi peringatan supaya menyediakan barang keperluan asas secukupnya.
Katanya kekurangan bekalan minyak masak dalam pasaran baru-baru ini telah diatasi sepenuhnya.
-- BERNAMA