Petugas Media Puas Hati Simulasi Pilihan Raya SPR
SHAH ALAM, 26 Jan (Bernama) -- Seramai 79 petugas media daripada 30 agensi media cetak dan elektronik khususnya di Selangor menghadiri taklimat pilihan raya yang dianjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini hari ini.
Taklimat empat jam itu disampaikan Ketua Program Pengurusan Strategik Akademi Pilihan Raya Khadijah Ishak bertujuan memberi pendedahan mengenai peranan dan tugas media sepanjang proses pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Pada taklimat itu, beberapa petugas media juga berpeluang merasai sendiri simulasi pilihan raya yang diadakan SPR dengan mengikuti semua prosedur yang ditetapkan sepanjang proses pengundian dan pengiraan undi.
Petugas media daripada Radio Televisyen Malaysia Samsia Samsi, 33, berkata simulasi itu sangat tepat pada masanya memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung tidak lama lagi.
"Menerusi taklimat ini, saya melihat SPR guna pakai prosedur ketat ketika proses pilihan raya, bermula dari pembubaran parlimen hingga pewartaan keputusan pilihan raya baharu," katanya kepada Bernama.
Seorang lagi petugas media, Radzi Razak daripada The Malaysian Insight berkata simulasi itu memberi peluang kepada petugas media untuk mengalami sendiri perjalanan pilihan raya termasuk menjadi ejen calon, selain memahami secara lebih mendalam prosedur yang digunapakai suruhanjaya itu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Pilihan Raya Selangor Kamarul Azman Ahmad Sabri berkata seramai 35,000 petugas pilihan raya dijangka ditempatkan di Selangor pada PRU14.
Beliau menasihati orang ramai agar mendapatkan maklumat mengenai lokasi pengundian dan maklumat lain berkenaan pilihan raya dengan memuat turun aplikasi 'MySPR Semak' pada telefon pintar masing-masing.
-- BERNAMA