Kerajaan Peruntuk RM250 Juta Untuk Baik Pulih Rumah Nelayan
ALOR SETAR, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM250 juta untuk membaik pulih rumah nelayan di seluruh negara sejak 2015.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini sebanyak 25,000 nelayan mendapat manfaat pembaikan rumah berkenaan dengan kos maksimum membaik pulih sebuah rumah RM10,000.
"Program baik pulih rumah mereka ini perlu ditambah lagi pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesranya bersama nelayan kawasan Yan dan Kuala Kedah di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sala dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah LKIM Datuk M Saedon Ab Majid.
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM350,000 untuk kerja menaik taraf Kompleks LKIM Kuala Sala itu yang sering ditenggelami air setiap kali berlaku air pasang di situ.
Beliau berkata peruntukan itu untuk pemasangan penahan hakisan daripada Gabion serta mengaras semula ketinggian tembok penahan sedia ada serta mengaras semua kawasan kompleks itu yang rendah dan ditenggelami air dengan tanah merah di kawasan kompleks berkenaan.
"Kita akan cari lagi apa-apa perkara lain lagi yang perlu dibantu kerana di sini telah menjadi dataran baharu yang boleh digunakan untuk kegiatan dan dataran ini perlu dinaik taraf misalnya kawasannya yang perlu ditar dan sebagainya, dan itu kita akan cari peruntukan yang lain pada masa akan datang,? katanya.
Beliau berkata bagi penduduk Kuala Sala ini, kawasan Kompleks LKIM Kuala Sala adalah satu tempat mereka berhimpun mengadakan aktiviti.
"Kehidupan mereka ini selain sawah padi mereka juga sangat hampir dengan laut, mereka tidak ada tempat untuk berekreasi mengadakan pertemuan sebagainya. Jadi, jika kita dapat naik tarafkan tempat ini bukan sahaja kepada nelayan, malah boleh digunakan untuk penduduk berhampiran," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Shabery berkata bekalan kelapa untuk sambutan Thaipusam mencukupi setakat ini namun pihak kementeriannya sentiasa memantau permintaan dari semasa ke semasa.
"Sekiranya tidak mencukupi kita akan meningkatkan import...kita mengimport 100 juta kelapa setahun dan keperluan kelapa negara lebih kurang 700 juta setahun. Jadi, maknanya kita hasilkan lebih kurang 600 juta kelapa setahun," katanya.
-- BERNAMA