UMNO Yakin Pengundi Tidak Terpengaruh Kempen Undi Rosak




PASIR SALAK, 27 Jan (Bernama) -- UMNO yakin pengundi bijak tidak akan terpengaruh dengan kempen undi rosak yang ditularkan pihak tertentu bertujuan memboikot pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata tindakan itu bukan sahaja tidak rasional malah bercanggah dengan sistem demokrasi yang menjadi tunjang kepada sistem pentadbiran negara.

Katanya peluang mengundi wajar digunakan sebaiknya oleh mereka yang layak kerana ia adalah hak dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh rakyat.

"Rosakkan undi ini adalah kerja orang yang tidak rasional, sasau dan tidak tahu hala tuju untuk menentukan masa depan negara.

"Kita akui setiap kerajaan yang memerintah ada kelemahan tetapi sebagai rakyat, kita wajib mengundi dan harus bijak memilih parti yang terbaik untuk menentukan masa depan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kampungku Indah dan Harmoni Seberang Perak di Dataran Felcra Seberang Perak dekat sini, hari ini.

Kempen #UndiRosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU kini tular menerusi laman sosial bagi mengajak golongan muda agar merosakkan undi pada PRU akan datang dengan penggeraknya dilaporkan memberi alas an, tiada beza sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan.

Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata kempen undi rosak itu dilihat tidak akan memberi kesan besar kepada BN kerana ia hanya melibatkan segelintir kelompok yang mempunyai agenda peribadi.

"Mungkin ada yang buat kerja ini tapi seorang dua. Tidak kuat mana dan mungkin kecewa sebab ada kepentingan peribadi yang tidak dipenuhi," katanya sambil mengingatkan pengundi supaya bijak memilih demi masa depan dan kemajuan negara.

-- BERNAMA