Sokongan Kaum Murut Kepada BN Sangat Penting - Radin




TENOM, 27 Jan (Bernama) --Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Seri Radin Malleh berkata, sokongan kaum Murut kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 akan datang sangat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan di Sabah, khususnya kawasan luar bandar.

Radin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Melalap berkata, sokongan rakyat di negeri ini termasuk etnik Murut selama ini telah membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kesejahteraan hidup rakyat.

"Perkongsian kuasa, kestabilan politik dan perpaduan rakyat (selama ini) telah memudahkan kerajaan melaksanakan dasar-dasar pembangunan untuk melahirkan rakyat berilmu, bermoral, demokratik, progresif dan bersatu seiring dengan gagasan 1Malaysia dan Rukunegara," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Kalimaran Peringkat Daerah Tenom di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Murut itu ialah Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS) Datuk Rubin Balang, Anggota Parlimen Tenom Datuk Raimie Unggi dan Anggota Dewan Negara Senator Datuk Lucak Umbul

Dalam pada itu, Radin berkata melalui sokongan padu etnik Murut kepada BN akan membolehkan masyarakat itu sentiasa berada dalam arus perdana serta turut serta dalam pelbagai program pembangunan kerajaan di negeri ini.

"Impian saya ialah ingin melihat masyarakat ini (Murut) membangun dan maju seperti bangsa-bangsa yang lain," katanya.

Sementara itu, Radin berkata, kebebasan rakyat berbilang kaum mengamalkan adat resam, kepercayaan dan kebudayaan masing-masing harus dipertahankan oleh semua pihak di negara ini.

Katanya kebebasan seperti itu merupakan kunci utama yang meletakkan Malaysia selama ini sebagai sebuah negara aman dan harmoni manakala rakyatnya hidup dalam suasana muhibah.

Berhubung Pesta Kalimaran, Radin berkata ia menjadi saluran mengukuhkan kerjasama dan semangat kekitaan di kalangan suku kaum Murut yang bertaburan di merata-rata tempat di negeri ini.

"Pesta ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat khususnya generasi kaum itu tentang kepentingan mengetahui dan memelihara adat resam dan kebudayaan mereka.

"Ini termasuklah memperkasakan bahasa ibunda sebagai identiti Murut yang perlu diamalkan agar ia tidak hilang ditelan zaman," katanya.

-- BERNAMA