Manifesto BN Bakal Mengejutkan Pembangkang - Annuar
KOTA BHARU, 27 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan menampilkan manifesto yang bakal mengejutkan pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), sekali gus membolehkannya terus membela rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata manifesto itu akan menampilkan kandungan yang menunjukkan bahawa kerajaan BN sentiasa mempedulikan suara dan kehendak rakyat.
"Saya mahu menyatakan pembangkang akan terperanjat...kita akan buktikan BN lebih dinamik daripada pembangkang, manifesto kita lebih ke hadapan berbanding mereka dalam soal membela rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan jualan istimewa bagi membantu rakyat di kawasan Parlimen Ketereh di sini hari ini.
Annuar, yang juga Anggota Parlimen Ketereh, seterusnya berkata manifesto itu kini di peringkat akhir penggubalan oleh jawatankuasa khas.
Program jualan istimewa itu akan diadakan dari semasa ke semasa dalam usaha membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat berbanding pembelian barang dapur di pasar raya, jelas beliau.
-- BERNAMA