BN Sentiasa Iktiraf Ibu Tunggal - Kurup
KENINGAU, 28 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) sentiasa mengiktiraf ibu tunggal menerusi pelbagai program dan inisiatif diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan berkenaan meningkatkan pendapatan serta ekonomi mereka, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.
Kurup berkata kerajaan tidak pernah mengetepikan kebajikan golongan ibu tunggal sebaliknya sentiasa memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk meningkatkan potensi diri dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan dan kemahiran.
"Justeru, golongan ibu tunggal diingatkan supaya tidak merendah diri atau menjauhkan diri daripada masyarakat. Saya mahu anda bersaing untuk meningkatkan ilmu dalam menghadapi era sekarang.
Mereka juga harus lebih kreatif dan inovatif dalam menjana pendapatan demi menyara keluarga sekali gus memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan secukupnya," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Kursus Membuat Kek dan Kueh Tradisional Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Pensiangan di sini hari ini.
Seramai 100 ibu tunggal memeriahkan program itu yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Sabah Datuk Rosimah Zakaria.
Dalam pada itu, Kurup yang juga anggota Parlimen Pensiangan juga mahu golongan ibu tunggal di kawasan berkenaan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan.
-- BERNAMA