Kos Sara Hidup Kekal Antara Keutamaan Kerajaan BN




JOHOR BAHRU, 28 Jan (Bernama) -- Isu kos sara hidup kekal antara misi utama kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan nasib rakyat terutama dalam kelompok B40 dan M40 terus terbela.

Anggota Parlimen Pasir Gudang Datuk Normala Samad berkata antara langkah yang diambil termasuk mengadakan jualan murah.

"Contohnya di Pasir Gudang, ada banyak program-program jualan barangan murah yang bertujuan membantu rakyat menangani kos sara hidup yang tinggi.

"Kita akan memastikan produk-produk yang kita jual melalui program kita akan sentiasa berada 10 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Karnival Jualan Rakyat yang diadakan secara serentak bersama Karnival Muafakat Johor di perkarangan parkir Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.

Katanya menerusi program seumpama itu, diharapkan rakyat jelas bahawa kerajaan BN sentiasa prihatin dan sentiasa memberi jalan penyelesaian kepada permasalahan rakyat.

Turut hadir Pengarah Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Muez Abd Aziz.

Normala berkata Karnival Jualan Rakyat itu merupakan program jualan murah yang pertama untuk tahun ini di kawasan Pasir Gudang dan akan diperluaskan ke seluruh kawasan.

"Kita akan teruskan program seumpama ini di kawasan Pasir Gudang seperti di Masai dan Taman Molek sebab sebelum ini pun kita sudah pernah buat Pasar Percuma di kawasan Seri Alam tetapi saiz gerainya mungkin lebih kecil," katanya.

"Harga menarik seperti harga ayam tiga ekor RM16, harga beras Faiza 5 kilogram (kg) RM11 dan harga kupang 3kg adalah RM10, merupakan antara tarikan pengunjung datang ke karnival ini selain barangan dapur yang segar seperti kentang, bawang, cili kering, ikan bilis dan banyak lagi," katanya.

Menurut Muez pula, karnival itu merupakan antara Strategi Lautan Biru Kebangsaan KPDNKK dalam memastikan rakyat mendapat barang keperluan berkualiti pada harga yang murah.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha sama yang dijalankan oleh KPDNKK bersama kerajaan negeri dan ahli parlimen. Kita juga bercadang untuk meluaskan program ini ke setiap kawasan parlimen di Johor," katanya.

-- BERNAMA