Najib Temui Pemimpin UMNO, BN Kelantan





KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan perjumpaan dengan pimpinan Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Barisan Nasional (BN) Kelantan.

Pertemuan tertutup lebih sejam bermula pukul 2.40 petang itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Perdana Menteri dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, menamatkan lawatannya dengan menghadiri perjumpaan dengan lebih 1,500 anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan di sebuah hotel di sini.

Ketika diminta mengulas pertemuan tersebut, Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata perdana menteri menekankan supaya rakyat negeri ini diberikan penerangan yang jelas berkaitan pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan BN di Kelantan.

Beliau berkata ini terutamanya projek pembinaan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang diilhamkan perdana menteri yang akan menjadi titik perubahan besar kepada Kelantan ke arah sebuah negeri yang lebih berdaya saing.

"ECRL yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Pelabuhan Klang di Selangor, akan menjadi satu titik bersejarah yang akan sama sekali mengubah landskap Kelantan daripada negeri yang tidak strategik dan kurang digemari pelabur kepada sebuah negeri yang strategik dan maju," katanya.

Annuar berkata projek ECRL bukan projek laluan kereta api biasa tetapi sebuah pembangunan strategik yang akan meletakkan Kelantan diambang perubahan besar sebagai satu laluan antarabangsa.

"Ia akan menjadikan Kelantan sebuah negeri kompetetif dari segi pelaburan asing setanding negeri Pantai Barat yang lain," katanya.

Beliau berkata langkah 'menjangkaui imaginasi' perdana menteri itu adalah titik sejarah baharu dalam politik tanah air apabila kerajaan mengetepikan sentimen politik demi pembangunan dan kesejahteraan negeri ini.

Justeru, katanya, rakyat jangan melihat projek tersebut sebagai satu gimik politik atau pilihan raya sebaliknya bersedia menerimanya secara terbuka untuk masa depan yang lebih baik.

-- BERNAMA