Mustapa Yakin Kehebatan Najib Akan Dihargai




KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Kehebatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membangunkan negara akan dihargai rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata kepimpinan Najib terbukti dalam memacu ekonomi negara dengan lebih pesat selain turut menjadi seorang pemimpin yang cakna kepada rakyat yang dipimpinnya.

"Kita merupakan contoh dan teladan (kepada negara-negara lain). Arab Saudi, Sri Lanka, Jepun nak belajar dengan kita.

"Justeru, kita nak pilih parti yang memimpin negara ini perkara yang serius, bukan perkara (tindakan) yang singkat," katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Kerajaan Persekutuan dan Negeri di perkarangan Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 10,000 penjawat awam itu turut disertai Najib, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) berkata ekonomi negara perlu berada dalam keadaan yang kukuh agar penjawat awam turut merasai faedah tersebut.

"Kita bukan negara bankrap (seperti yang didakwa sesetengah pihak). Ringgit naik kepada RM3.80 (sekarang) dan kita bersyukur kerana tak pernah dalam sejarah kita ada seorang pemimpin yang begitu cakna kepada kita (Kelantan).

"Justeru, penjawat awam perlu memilih dengan teliti untuk pastikan negara yang hebat ini, terus hebat di bawah kepimpinan Najib," katanya.

-- BERNAMA