Rakyat Kelantan Boleh Bergantung Harap Kepada BN

KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- "Ambo Perdana Menteri untuk semua," kata Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat memberi mesej jelas kepada rakyat Kelantan bahawa mereka boleh bergantung harap kepada kerajaan persekutuan dalam membela nasib mereka.
Najib yang melakukan lawatan sehari ke negeri pantai timur itu menyatakan komitmennya untuk terus memajukan Kelantan supaya setanding dengan negeri-negeri lain.
Menjadikan contoh Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 bernilai RM572 juta yang dirasmikannya hari ini, Najib berkata ia akan melenyapkan mimpi ngeri kejadian banjir besar tahun 2014 sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk berdekatan sungai itu.
Projek PLSB akan bermula esok dan dijangka siap pada Mei 2021.
Projek pembangunan lain yang akan dilaksanakan di negeri ini ialah pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa sehingga boleh menampung empat juta penumpang daripada 1.3 juta orang sekarang serta projek pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bakal lonjakkan ekonomi negeri itu.
Dalam lawatan itu, beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan melaksanakan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok dan membina sebuah stadium baharu di negeri itu sebagai galakan kepada orang muda bersukan.
Ketika menghadiri majlis perjumpaan bersama lebih 10,000 penjawat awam kerajaan persekutuan dan negeri di Wisma Persekutuan, Najib mengulangi pendiriannya untuk tidak menjadikan negeri itu sebagai anak tiri hanya kerana pegangan politik yang berbeza.
Katanya, ia terbukti menerusi peruntukan berjumlah RM14.6 bilion bagi pembangunan Kelantan, sejak beliau menerajui negara pada 2009.
Jelasnya lagi, jumlah itu amat berbeza dengan peruntukan RM12 bilion yang diperuntukkan kepada Kelantan oleh pimpinan terdahulu selama lebih dua dekad bermula 1981.
Dengan pelbagai pembangunan yang dibawa kerajaan pusat ke negeri itu, Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa mahu rakyat Kelantan memikirkan masa depan yang boleh dinikmati negeri itu dengan keupayaan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Katanya, Kelantan tidak boleh terus berada di dalam polemik sebagai sebuah negeri mundur dan miskin.
"Pembangunan yang dibawa kerajaan pusat terutama ECRL bukanlah satu projek yang biasa, tetapi ia mampu membawa perubahan yang besar kepada Kelantan," katanya.
Najib berkata projek yang telah dan akan dilaksanakan bakal menjadikan negeri itu lebih kompetitif terutama dari segi pelaburan langsung, ekoran kemudahan yang disediakan kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Kelantan Prof Datuk Dr Ibrahim Che Omar melihat perdana menteri mengotakan slogannya 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menerusi pelbagai projek pembangunan di Kelantan.
"Walaupun sedar negeri ini dipimpin PAS, namun beliau bersikap adil dan tidak pernah menjadikan alasan negeri pembangkang untuk tidak membantu," katanya.
Katanya, rakyat Kelantan sememangnya mengidamkan pembangunan bukan sahaja fizikal malah dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
"Masalahnya rakyat Kelantan yang tinggal di luar Kelantan dan menikmati pelbagai kemudahan, mempengaruhi senario politik dengan sentimen tidak mahu mengubah Kelantan," katanya.
-- BERNAMA