Jangan Mudah Percaya Penyebaran Senarai Calon BN Kedah - Exco
BALING, 29 Jan (Bernama) -- Penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) dinasihatkan supaya jangan mudah percaya atau terpengaruh dengan senarai bakal calon bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang tular di laman sosial.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata senarai yang ditularkan itu dilihat sebagai propaganda pihak tertentu bagi memecahbelahkan kekuatan BN.
"Bukan setakat senarai nama tetapi macam-macam lagi benda termasuklah gambar dan profil akan ditularkan oleh pelbagai pihak.
Jadi, untuk penyokong (mereka diingatkan supaya), jangan melatah. Bersikap profesional walaupun calon pilihan mereka tidak terpilih dan paling utama, selalu rujuk dan cari kebenaran dalam setiap berita yang disebarkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Dokumen Usahasama antara Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil dekat sini hari ini.
Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baharu berkata demikian bagi mengulas mesej yang tular di dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa sebagai nama calon awal BN Kedah pada PRU14.
Norsabrina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Kedah berkata kepimpinan BN negeri langsung tidak terpengaruh dengan penyebaran senarai calon itu malah terus melaksanakan tugas masing-masing berkhidmat kepada rakyat.
"Bila kita tengok senarai yang tersebar ini, kita rakan Adun senyum saja sebab kita tahu siapa yang layak dan sepatutnya berada di mana," katanya.
Beliau berkata kepimpinan BN Kedah akan menerima apa jua keputusan pucuk pimpinan tertinggi berhubung calon yang akan bertanding nanti dan akan terus bekerja demi kepentingan serta kelangsungan parti supaya terus menerajui pentadbiran negeri ini.
-- BERNAMA