PRU14: Polis Kelantan Adakan Simulasi Dua Hari
BACHOK, 1 Feb (Bernama) -- Polis Kelantan akan menjalankan simulasi penamaan calon dan berkempen sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 selama dua hari bermula esok.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata simulasi itu akan bermula pada 6.30 pagi hingga 12 tengah malam dan merupakan latihan biasa pasukan keselamatan negara tersebut dalam mempersiapkan diri menghadapi PRU.
"Kita meminta kerjasama orang ramai supaya tidak terkejut dengan latihan ini termasuklah kehadiran ratusan anggota PORU (pasukan antirusuhan) di kawasan mereka.
"Keadaan ini adalah bayangan pilihan raya yang semakin dekat dan kita sendiri tidak mengetahui tarikh sebenar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Kejohanan Ping Pong Piala Ketua Polis Negara di Tangok, di sini, hari ini.
Hasanuddin berkata pada PRU nanti pihaknya akan meminta anggota tambahan seramai 1,300 orang memandangkan jumlah sedia ada dalam kontinjen Kelantan tidak mencukupi.
Dalam perkembangan lain, Hasanuddin berkata polis Kelantan kini memburu tiga lelaki tempatan kerana disyaki terbabit dalam kejadian samun kenderaan di Kampung Tiong, Kota Bharu kira-kira 7 pagi tadi.
Beliau berkata dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki berusia 54 tahun yang baru pulang dari masjid dengan memandu kenderaan jenis Toyota Hilux mendakwa dihadang oleh sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki tiga lelaki bertopeng.
Mangsa mendakwa tiga lelaki bertopeng itu kemudian memecahkan cermin kenderaannya dan memaksanya turun sebelum suspek melarikan kenderaannya.
"Mangsa mendakwa suspek mempunyai senjata tajam dipercayai parang. Mangsa juga mendakwa terdengar satu das tembakan dilepaskan oleh suspek dan siasatan lanjut akan dijalankan," katanya.
Katanya setakat ini siasatan mendapati suspek menggunakan kenderaan jenis Proton Saga berwarna merah dan nombor kenderaan adalah palsu.
-- BERNAMA