2,400 Anggota Polis Ditugaskan Sepanjang PRU14 Di Terengganu 
HULU TERENGGANU, 3 Feb (Bernama) -- Seramai 2,400 anggota polis akan ditugaskan bagi menjaga keselamatan sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di seluruh Terengganu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata kesemua anggota tersebut akan diletakkan di pusat-pusat mengundi dan kawalan keselamatan di seluruh negeri ini.
"Hari ini kita telah melihat latihan simulasi siri kedua yang telah diadakan serentak di seluruh negara. Senario pada kali ini lebih kepada kempen yang mana ada pihak yang mengganggu kempen dengan niat menimbulkan keadaan huru-hara dan pihak polis perlu mengambil tindakan untuk meleraikan keadaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Latihan Amal Ex-Undi Per PRU-14 di Dataran Water Front, Kuala Berang, di sini yang turut disaksikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.
Katanya semua unit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilibatkan bagi mengawal keadaan semasa.
Menurut Aidi, Latihan Amal Ex-Undi Per PRU-14 siri kedua ini bertujuan supaya anggota dan pegawai polis sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan serta melatih mereka supaya mahir dalam mengambil sebarang tindakan dalam tempoh kempen, buang undi dan pasca pilihan raya.
Sementara itu, Jailani berkata mana-mana parti politik yang ingin menjalankan kempen haruslah mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelak mengeluarkan kenyataan yang mengundang kecaman serta mengganggu ketenteraman awam.
"Dalam tempoh mengundi, semua pihak harus merujuk kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menimbulkan situasi huru-hara dan mejejaskan keselamatan sepanjang proses pilihan raya berlangsung," katanya.
-- BERNAMA