Daftar Pengundi Sehingga Saat Akhir Tidak Praktikal - Nur Jazlan




JOHOR BAHRU, 3 Feb (Bernama) -- Cadangan Penasihat DAP Lim Kit Siang untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pendaftaran pengundi sehingga hari terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) tidak praktikal, kata Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai langkah terdesak pembangkang untuk meraih undi.

"Kalau kita fikirkan secara logik, ia akan membuka lebih banyak peluang kepada pengundi saat-saat akhir yang mana akan timbul lagi isu untuk dimainkan pembangkang seperti pengundi hantu."

"Ini semua bukti kukuh bahawa pembangkang tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat sehingga mahu bergantung kepada pengundi saat-saat akhir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Simulasi Hari Pengundian Parlimen Pulai yang diadakan di Taman Bukit Indah, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Lim yang juga Anggota Parlimen Gelang Patah menyarankan agar SPR membenarkan pendaftaran pengundi dibuat sehingga dua minggu sebelum PRU-14 diadakan.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri percaya pengundi sudah tidak mahu lagi tertipu dengan dakyah dibawa Lim.

"Rakyat tidak kira kaum Melayu, Cina dan India sudah lebih bijak berfikir dan telah menolak pembangkang dan pembangkang sendiri telah menjangkakan undi mereka akan turun, jadi sebab itu mereka memberi cadangan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA