Pucuk Pimpinan BN Dengar Pandangan Berhubung Calon - Khairy




YAN, 3 Feb (Bernama) -- Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) akan mendengar pandangan semua pihak berkepentingan dalam parti komponen itu berhubung pemilihan calon untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata senarai calon yang diketengahkan oleh parti komponen dan sayap masing-masing kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak adalah individu yang berkelayakan dan berwibawa untuk dipilih bertanding.

"Keputusan (memilih calon terbaik untuk bertanding) akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti setelah mendengar pandangan daripada semua pihak, untuk memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi BN," katanya ketika ditanya sama ada senarai calon daripada kalangan Pemuda UMNO telah dikenal pasti untuk bertanding pada PRU14.

Sambil menyatakan beliau telah menghantar senarai calon Pemuda UMNO untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti, Khairy meminta semua pihak agar tidak menimbulkan banyak spekulasi tentang calon BN yang akan dipilih bertanding pada PRU14 kerana ia boleh mewujudkan situasi tidak sihat.

Khairy yang juga Ketua Pemuda BN ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Briged Gempur 2314 Pemuda BN Kedah?Himpunan Kekal Biru Parlimen Jerai di Kampung Keda, Sungai Udang dekat sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Kedah selaku Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Anggota Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ditanya berapa peratus calon muka baharu, beliau berkata: "Ye lah, semua Pemuda ini kebanyakan muka baharu".

Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut mengumumkan projek Kompleks Sukan Parlimen Jerai dengan peruntukan RM8 juta yang akan dibina di Kampung Keda, Sungai Udang itu.

Beliau berkata kerja pembinaan kompleks sukan itu akan bermula secepat mungkin.

-- BERNAMA