MIC Perlu Kerja Keras Rampas Semula DUN Hutan Melintang - Zahid




Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) tiba bagi merasmikan Pesta Perpaduan Ponggal 2018 di Dewan Sanmarka di Hutan Melintang hari ini

HUTAN MELINTANG, 3 Feb (Bernama) -- MIC perlu bekerja keras bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kemenangan BN di DUN Hutan Melintang dan DUN Rungkup amat penting bagi memastikan Parlimen Bagan Datuk menang dengan lebih majoriti pada PRU14.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata pada PRU13 Datuk Shahrul Zaman Yahya memenangi DUN Rungkup dengan majoriti 613 undi manakala dirinya menang dengan majoriti 2,108 undi.

"Kalau dulu (PRU13) di Hutan Melintang kita (BN) kalah, kalau dulu di Parlimen Bagan Datuk saya menang tapi cuma majoriti 2,108 undi sahaja, tak mengapa itu cerita lama."

"Kali ini kita rampas semula Hutan Melintang dan DUN Rungkup, kita kena tingkatkan majoriti kepada 6,000 undi supaya BN menang dan dapat perkuatkan (pentadbiran BN di) negeri Perak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Ponggal 2018 di Dewan Sanmarka di sini, hari ini.

Pada PRU13, calon BN di DUN Hutan Melintang diwakili R. Subramaniam daripada MIC.

Ahmad Zahid berkata masyarakat India di negara ini perlu menghargai pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan serta pemimpin MIC yang berusaha gigih memperjuangkan nasib kaum itu.

Katanya, sejak MIC dipimpin Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelbagai program khas bagi masyarakat India di samping menaik taraf Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) serta menubuhkan Sekretariat Khas Bagi Memperkasa Usahawan India (SEED) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Disebabkan Dr Subramaniam memperjuangkan nasib masyarakat India keseluruhan, maka kena bagi sokongan kepada beliau dan calon BN.

"Sebab sebelum ini tak ada program khusus yang besar seperti yang diperjuangkan rakan saya ini (Dr Subramaniam yang turut hadir pada majlis itu), jadi masa PRU ke-14, orang India (perlu) tutup buku lama dan buka buku baharu," katanya.

-- BERNAMA