MIC Harap Bertanding Kerusi DUN Hutan Melintang




HUTAN MELINTANG, 3 Feb (Bernama)-- MIC berharap parti itu kekal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata parti itu yakin mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi DUN Hutang Melintang sekali gus membantu Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi itu.

"Memang menjadi impian kita (MIC) untuk ada masyarakat India wakil dalam mesyuarat Exco (kerajaan negeri Perak) , bila jadi kenyataan ia satu kegemilangan untuk kita (MIC dan masyarakat India)."

"Kali ini kita akan memperbetulkan kesilapan supaya ada seorang wakil yang dapat suarakan masalah kita," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Ponggal 2018 di Dewan Sanmarka di sini, hari ini, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Dr Subramaniam meminta ketua cawangan MIC di seluruh negara memberi sokongan penuh kepada BN dalam memastikan kemenangan pada PRU14.

Beliau berkata sehingga kini, MIC mempunyai 4,300 cawangan dengan keahlian seramai 440,000 orang di seluruh negara dan jumlah itu mewakili 46 peratus pengundi kaum India di negara ini.

"Kalau ada pilihan raya sama ada kecil atau umum, MIC akan sentiasa turun padang untuk memastikan BN juara," katanya.

-- BERNAMA