TPM Zahid Mahu BN P.pinang Tumpu Gerak Kerja PRU14




GEORGE TOWN, 4 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan gerak kerja jentera Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata Ahmad Zahid juga mahu parti itu bekerja keras habis-habisan dan memberi tumpuan kepada gerak kerja PRU14.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan tertutup selama 30 minit bersama-sama 2,000 jentera BN Pulau Pinang di Universiti Teknologi MARA Permatang Pauh dekat sini, hari ini.

Ditanya sama ada senarai calon BN Pulau Pinang dimuktamadkan dalam pertemuan itu, Teng berkata: "Belum (dimuktamadkan). Timbalan perdana menteri mahu semua lobi melobi ditumpukan kepada gerak kerja PRU14," katanya ketika dihubungi di sini.

Teng berkata dalam pertemuan itu, Ahmad Zahid turut memberi amanat berkaitan persediaan BN negeri dalam menghadapi PRU14.

-- BERNAMA