PRU14: TNB Negeri Sembilan Buat Persediaan




SEREMBAN, 6 Feb (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) sudah membuat persediaan bagi memastikan tiada gangguan bekalan eletrik di semua pusat mengundi, pusat pengiraan dan penjumlahan undi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Negeri Sembilan, Wan Ishak Soed berkata: "Untuk PRU ini kita sudah membuat 'engagement' dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kejuruteraan Elektrik untuk mendapatkan input dan maklum balas.

"Kita sudah mengenal pasti lokasi seperti sekolah dan dewan yang akan digunakan sebagai pusat mengundi, pusat pengumpulan dan pengiraan undi serta penjumlahan undi dan pengumuman rasmi keputusan pada PRU tersebut," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya pihaknya menyediakan antara 15 ke 20 janakuasa mudah alih (mobile genset) berkapasiti 500 kVA ke 1,000 kVA di lokasi utama pusat penjumlahan undi dan pengumuman rasmi keputusan sebagai 'back-up' untuk bekalan sistem utama TNB dan diletakkan bersebelahan pencawang elektrik.

Selain itu, katanya pihaknya menyediakan pasukan teknikal yang 'stand-by' dan membuat rondaan di semua pusat mengundi dan pusat pengiraan undi iaitu di sekolah-sekolah.

"Pasukan teknikal ini juga akan turut ditempatkan di janakuasa mudah alih. Kita juga akan membuka bilik gerakan utama PRU di Taman Bukit Emas di sini yang berfungsi sebagai pemantauan aduan bekalan elektrik sepanjang tempoh pilihan raya itu.

"Bilik gerakan utama PRU ini yang beroperasi 24 jam memusatkan semua aduan bekalan elektrik dari seluruh negeri. Seramai 150 orang kakitangan teknikal TNB negeri ini akan terlibat dalam PRU ini. Mereka ini bertugas mengikut shif," katanya.

-- BERNAMA