Manifesto PH Negeri Sembilan Bersifat Populis - MCA




SEREMBAN, 7 Feb (Bernama) -- Manifesto yang diumumkan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini dilihat sekadar untuk memancing undi dan bersifat populis, kata Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA Kebangsaan Ng Kian Nam.

Beliau berkata kesemua 10 dasar utama yang terkandung dalam manifesto PH Negeri Sembilan yang dijanji akan dilaksanakan sekiranya menang pada PRU14, dilihat tidak realistik bahkan mengelirukan masyarakat.

Mengambil contoh janji dalam manifesto PH untuk tidak menaikkan cukai tanah dan pintu dalam tempoh lima tahun, beliau berkata perkara itu sudah pun dilakukan di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan bahkan kedua-dua cukai itu juga tidak dinaikkan sejak lebih lima tahun lepas.

"Saya hendak bertanya kenapa hanya lima tahun sahaja (ditawarkan)? adakah ini bermaksud selepas lima tahun nanti (jika menang semula) cukai akan dinaikkan?," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ng juga turut mempersoalkan manifesto PH yang mengehadkan jawatan menteri besar selama dua penggal tetapi tidak dilaksanakan di negeri yang ditadbir mereka ketika ini iaitu Pulau Pinang dan Selangor.

"Saya berpandangan bahawa manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan tiada satu arah tuju yang jelas sebaliknya lebih berunsur populis untuk memancing undi.



Dalam manifesto mereka, perkara-perkara yang disenaraikan seolah-olah macam tidak payah guna wang tapi isunya tidak dijelaskan bagaimana cara mereka untuk menambah sumber pendapatan kerajaan untuk menampung semua projek dan bantuan yang disenaraikan mereka," katanya.

Mereka juga tidak membawa apa-apa perubahan besar dari segi aspek pelaksanaan polisi bahkan kesemua tawaran yang diberikan telah pun dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat supaya menilai dengan matang apa yang telah dinikmati mereka selama ini hasil daripada perjuangan BN dengan apa yang ditawarkan PH Negeri Sembilan, yang sekadar bertujuan untuk meraih undi.

Pada 28 Jan lepas, PH Negeri Sembilan menyenaraikan 10 dasar tumpuan dan ia termasuk menggandakan peruntukan tahunan untuk hal ehwal Agama Islam, mewujudkan peruntukan khas RM500,000 bagi memperkasa Adat Perpatih dan memperkenalkan peruntukan kepada badan agama bukan Islam.

-- BERNAMA