UMNO Kubang Kerian Terus Giat Bantu Golongan Kurang Berkemampuan

Datuk Seri Mohamad Abdul Ghani (tiga, kiri) menghulurkan bantuan kewangan kepada Bakar Taib, 65, (kanan) bapa kepada Mohamad Zuhaini, 32, yang lumpuh selama lima tahun akibat kemalangan di Kampung Telok Kandis, Salor hari ini. Turut kelihatan ibu Mohamad Zuhaini Norhayati Adam, 57, (dua, kanan)
KOTA BHARU, 8 Feb (Bernama) -- Program membantu rakyat terus menjadi agenda utama UMNO Bahagian Kubang Kerian dalam meringankan beban rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.
Ketuanya Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani berkata pelbagai inisiatif diambil dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran termasuk lawatan dari rumah ke rumah bagi pesakit kronik dan warga emas.
"Tradisi ini dilakukan setiap tahun dan bagi Parlimen Kubang Kerian kita membuat lawatan sekurang-kurangnya 100 rumah pesakit kronik setiap bulan. Selain menyampaikan sumbangan kita cuba berkongsi masalah dan cuba membantu pesakit mendapatkan rawatan yang sewajarnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi seorang pesakit kronik Mohd Zuhaini Bakar, 32, di Kampung Telok Kandis, Salor di sini, hari ini.
Katanya langkah turun padang itu dilakukan bagi memastikan tidak berlaku keciciran dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.
Muhammad berkata khidmat pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah bersama pegawai perubatan dan jururawat turut dilaksanakan untuk warga emas dan pihaknya menyasarkan lebih 600 orang akan mendapat manfaat sepanjang tahun ini.
"Kita sedar kebanyakan warga emas berdepan kesukaran untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik. Lawatan dari rumah ke rumah ini diharap lebih memudahkan mereka dalam langkah awal mengesan dan mencegah penyakit," katanya.
Sementara itu, ibu Mohd Zuhaini, Norhayati Adam, 67, berkata menjaga pesakit kronik bukan hanya memerlukan wang tetapi sokongan moral yang tinggi.
Kata Norhayati, anaknya itu lumpuh seluruh badan sejak lima tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil anak pulang dari sekolah.
Susulan itu, mereka sekeluarga perlu menyediakan perbelanjaan bagi membeli susu, lampin dan peralatan kesihatan lain memandangkan bantuan yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pampasan keilatan kekal daripada Jabatan Keselamatan Sosial tidak mencukupi.
Katanya keprihatinan yang ditunjukkan oleh UMNO itu amat dihargainya.
-- BERNAMA