Banjir : Jumlah Mangsa Berkurangan Tengah Hari Ini




KUCHING, 10 Feb (Bernama) -- Banjir di Sarawak beransur pulih berikutan cuaca baik sejak semalam, setakat 12 tengah hari ini sebanyak 2,037 mangsa daripada 566 keluarga masih pagi berada di 10 pusat perpindahan sementara (PPS) di lima bahagian.

Pagi tadi, sejumlah 3,092 mangsa dilaporkan masih lagi berada di 14 PPS.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata di Serian 453 mangsa terlibat, Sarikei (8 mangsa), Sibu (823 mangsa), Mukah (107 mangsa) dan Bintulu sebanyak 646 mangsa.

Setakat ini, empat PPS telah ditutup iaitu Dewan SJK (C) Cheng Hua di Sibu, Dewan Suarah Bintulu, Bintulu, Dewan Buluh Baloi di Limbang dan Dewan Kampung Balai Ringin di Serian.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataan melaporkan sejumlah 4,215 murid, 624 guru dan 279 staf sokongan di 47 sekolah masih terjejas akibat banjir.

-- BERNAMA