TPM Hadir Majlis Makan Malam Parti Komponen BN Johor




JOHOR BAHRU, 10 Feb (Bernama) --Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis malam ini menghadiri Majlis Makan Malam Parti Komponen Barisan Nasional (BN) Johor yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Ketibaan Ahmad Zahid dan isteri kira-kira 6.30 petang disambut oleh Pengerusi BN Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta pemimpin tertinggi parti komponen lain iaitu Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MIC Johor Datuk M.Asojan serta Pengerusi MyPPP Johor Datuk Dr Siva Kumar.

Turut menyertai majlis, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Md Jais Sarday; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Hasni Mohammad.

Difahamkan pada majlis itu Ahmad Zahid dan Mohamed Khaled menyampaikan amanat kepada kira-kira 150 anggota jawatankuasa tertinggi parti, ketua-ketua bahagian dan naib-naib ketua bahagian kompenen BN yang turut hadir dalam majlis tertutup itu.

Majlis bermula 8.30 malam dan berlangsung selama dua jam itu merupakan sebahagian daripada acara dihadiri beliau selama dua hari di negeri ini, bermula hari ini.

Petang tadi, beliau menghadiri Sesi Bersama Kepimpinan Negara sempena Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu Program Sarjana Muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Esok pula beliau akan melancarkan Projek Membina Semula Jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat di Taman Tenang Jaya, Tenang Stesen, Segamat.

-- BERNAMA