Ketengahkan Lebih Ramai Calon Muda Pada PRU14
KOTA KINABALU, 11 Feb (Bernama) -- Majlis Belia Sabah menyatakan sokongan penuh kepada cadangan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional Negeri Yamani Hafez Musa untuk mengetengahkan muka baharu terdiri daripada golongan muda pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Presidennya Nourman Rayn Awang Zaini berkata bagi memastikan hasrat Transformasi Nasional 2050 (TN50) berjaya, negara perlu menerima perubahan itu secara positif bahawa masa depan negara akan dikemudi oleh generasi muda hari ini.
"TN50 hanya akan menjadi retorik semata-mata sekiranya tiada perubahan drastik yang dilakukan, terutamanya meletakkan calon muda yang bakal diserapkan ke dalam kabinet kerajaan kelak.
"Sudah tiba masanya kita di Sabah ini menerima muka-muka baharu bagi mengukuhkan lagi sokongan golongan muda kepada kerajaan, selain membantu menyumbangkan idea segar dalam penggubalan dasar kerajaan negeri agar Sabah terus sejahtera dan bertambah maju," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dari segi politik pula, beliau berkata calon muda perlu diketengahkan bagi mengimbangi calon muda yang bakal diketengahkan oleh parti pembangkang pada PRU14 akan datang.
Katanya kerajaan perlu melihat perkara itu dengan lebih serius memandangkan perubahan dari segi demografik politik dan kecenderungan pengundi masa kini telah berubah.
"Saya yakin kerajaan lebih arif dan peka akan hal ini serta mengharapkan calon muda untuk membantu melonjakkan lagi imej kerajaan bagi memastikan kerajaan sedia ada kekal relevan di hati pengundi muda," katanya.
-- BERNAMA